Haji | Uncategorized

Apakah Maksud Mampu Dalam Pelaksanaan Ibadah Haji?

Ramai yang menganggap bahawa maksud ‘mampu’ dalam melaksanakan ibadah haji cumalah dari segi kewangan. Tetapi, ternyata itu tidak benar kerana dengan penularan wabak COVID-19, ramai mula menyedari maksud mampu itu meluas. Mari fahami maksud sebenar mampu dalam pelaksanaan ibadah haji supaya kita mendapat haji mabrur.

Maksud Mampu Dalam Ibadah Haji

Firman Allah SWT

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan semua manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (Surah ali-Imran: 97)

Ayat ini menjelaskan bahawa ibadah haji ini hanya wajib kepada orang yang mampu dan berupaya. Kita boleh menunaikannya dengan sendiri ataupun dengan pertolongan orang lain atau lebih dikenali sebagai upah haji. 

Menurut Hadits daripada Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.” Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896). Selain mampu dari segi kewangan, berkemampuan juga boleh terdiri dalam pelbagai bentuk.

Maksud berkemampuan ialah:

  • Mampu menanggung segala perbelanjaan dan nafkah dalam tanggungan yang ditinggalkan.
  • Sihat tubuh badan
  • Mempunyai kenderaan yang baik untuk tujuan pergi dan balik.
  • Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
  • Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

Dua Pandangan Mazhab Tentang Maksud Mampu

Terdapat dua pandangan mazhab mengenai maksud ‘mampu’ dari segi kesihatan untuk menunaikan ibadah Haji.

Mazhab Syafi’i:

Menurut mazhab ini, keuzuran menggugurkan haji walaupun hanya sedikit sahaja.

Mazhab Maliki:

Di sisi mazhab Maliki pula ia tidak anggap keuzuran kecuali diambil berulang kali.

Jenis-jenis Kemampuan

Terdapat dua jenis kemampuan yang anda perlu tahu sebelum menunaikan ibadah Haji. 

  • Kemampuan secara langsung 

Sekiranya seseorang itu masih berupaya, mempunyai badan yang sihat, mereka dikira mampu untuk beribadah. Hal ini kerana mereka akan menempuh perjalanan yang mencabar dan melakukan kerja-kerja ibadah.

  • Kemampuan secara tidak langsung

Seorang mukallaf yang berharta boleh mengupah orang lain untuk mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas meninggal dunia. Ini boleh terjadi sekiranya dia tidak berupaya disebabkan faktor-faktor seperti uzur, berpenyakit dan sebagainya.

Ciri-ciri Kemampuan

Berikut adalah ciri-ciri kemampuan untuk rujukan anda sekiranya berniat untuk menunaikan Haji.

  • Harta yang mencukupi untuk mengerjakan Haji. Pastikan anda mampu untuk menanggung kos pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, upah pemandu haji dan sebagainya.
  • Sihat tubuh badan dan tidak mengidap penyakit kronik
  • Bagi wanita, hendaklah bersama mahramnya atau wanita yang thiqah.

Wanita Dan Kemampuan Wanita Untuk Mengerjakan Haji

Bagi wanita, terdapat beberapa perkara penting yang harus diketahui sebelum menunaikan ibadah Haji. Persoalan mengenai mahram dan juga haid akan dijelaskan di bawah.

Wanita Dan Mahram Sebelum Menunaikan Haji

Soal mahram ini merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan. Menurut Imam An Nawawi Rahimahullah, para ulama’ sepakat bahawa seorang wanita dinilai wajib menunaikan haji dalam Islam jika ia telah berkemampuan.

Hal ini berdasarkan keumuman firman Allah SWT:

“Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah” [TMQ Ali Imran (3): 97]. Terdapat dalil khusus dalam permasalahan Haji mengenai persoalan sama ada wanita diwajibkan adanya mahram atau tidak. “Janganlah seorang wanita melakukan safar kecuali bersama mahramnya, dan janganlah seseorang lelaki masuk menemui seorang wanita kecuali ketika wanita itu ada bersama mahramnya.” Maka seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, saya ingin keluar dalam pasukan begini dan begini (berperang di jalan Allah) sementara isteriku mahu menunaikan Haji.” Maka Nabi SAW pun menjawab: “Keluar, temanilah isteri kamu!” Maka di sini boleh dikatakan mahram ialah syarat “mampu” atau tidak bagi seorang wanita.

Wanita dan Haid

Untuk pengetahuan anda, haid tidak menghalang wanita untuk mengerjakan semua rukun dan kewajipan Haji kecuali tawaf di Baitullah. Namun, terdapat beberapa perkara dalam ibadah yang perlu diberikan perhatian. Pertama, jika seseorang wanita didatangi haid ketika mengerjakan Haji Tamattu’ iaitu sebelum berniat ihram, maka hendaklah berniat ihram seperti biasa. Sunat-sunat ihram seperti mandi dan lain-lain kecuali solat sunat ihram boleh dilakukan Dia hendaklah berniat ihram haji dan jadilah hajinya Haji Qiran . Dia diwajibkan dam Qiran jika haid berterusan sehingga tiba waktu wukuf. Bagi wanita yang mengerjakan Haji Ifrad/ Haji Qiran, semua amalan haji perlu dilakukan kecuali tawaf yang hanya dilakukan selepas bersuci.

Seseorang wanita harus mesti menunda tarikh keberangkatan sekiranya haidnya berterusan hingga tiba waktu berangkat keluar dari Mekah. Itu antara pengetahuan yang seorang wanita perlu tahu mengenai ibadah Haji. Haid tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak sempurna ibadah haji kerana ia tidak menghalang wanita untuk menunaikan semua rukun wajib kecuali tawaf di Baitullah. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, untuk menunaikan dan melaksanakan ibadah Haji, seseorang itu perlu membuat persiapan dari segi kesihatan, kewangan, dan sebagainya. Erti mampu yang sebenarnya sudah diterangkan dan diberitahu di atas. Ibadah haji ini sebenarnya tidak susah seperti yang mereka sangkakan. Islam itu mudah, Allah mengajar kita untuk belajar dan mengambil berat tentang sesuatu perkara, lagi-lagi untuk menjejakkan kaki ke rumah-Nya tanah suci Makkah. Sekiranya, mereka berkemampuan, maka mereka digalakkan untuk menunaikan ibadah Haji kelak.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *