Uncategorized

Hikmah Dan Makna Menjalankan Ibadah Haji Dan Umrah Bagi Umat Islam

Ibadah haji dan umrah merupakan rukun Islam kelima yang perlu dilaksanakan pada bulan Zulhijjah. Definisi haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Baitullah iaitu Kaabah pada masa-masa tertentu iaitu pada bulan haji, Zulhijjah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. 

Firman Allah SWT dalam dalil Al-Quran dan Sunnah tentang kewajipan mengerjakan ibadah haji;

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya” – Surah Ali-Imran (97)

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah, dan melakukan saie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. 

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan ibadah umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 196;

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah”

Hikmah menjalankan ibadah haji dan umrah bagi umat Islam

Setiap amalan dan ibadah yang dijalankan niat kerana Allah pasti akan memberikan hikmah dan manfaat bagi seseorang yang melaksanakannya. Begitu juga apabila kita menunaikan haji dan umrah, banyak hikmah yang boleh kita perolehi dan ia memberi makna kepada kita sebagai umat Islam. 

Hikmah itu dapat didefinisikan sebagai makna yang terkandung dari sesuatu peristiwa yang telah berlaku. Hikmah ini dapat dilihat sebagai sesuatu yang positif berdasarkan sesuatu perkara atau kejadian. Ibadah haji dan umrah ini juga banyak mendatangkan hikmah kepada kita terutama sekali dalam kalangan umat Islam. 

Salah satu hikmah umat Islam apabila menunaikan ibadah haji dan umrah adalah ia memberikan manfaat kepada individu dalam menunaikannya. Manfaat yang dapat diberikan kepada umat Islam ini adalah dapat menghapuskan semua dosa kecil seseorang dan menyucikan diri kita sendiri daripada melakukan perbuatan maksiat. Selain daripada itu juga, segala dosa seseorang itu akan diampunkan oleh Allah SWT. Allah SWT itu Maha Pengampun, Pemurah dan Penyayang. Dia akan mengampunkan dosa seseorang sekiranya melakukan ibadah haji namun sekiranya dosa itu dikaitkan dengan seseorang individu, maka ia patut diselesaikan terlebih dahulu. 

Tambahan lagi, hikmah menunaikan ibadah haji dan umrah juga dapat menyucikan jiwa seseorang dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Selain itu, ia dapat meningkatkan keimanan seseorang kerana telah dia telah menepati janji Allah untuk datang menunaikan ibadah haji dan umrah ke Baitullah Kaabah. Bukan itu sahaja, umat Islam juga dapat mengingat perjuangan dan jihad Rasullah SAW dan sahabat sewaktu menyebarkan agama Islam dahulu. 

Hikmah ibadah haji dan umrah juga dapat melatih diri seseorang untuk bersifat sabar sewaktu menempuh ujian dan dugaan hidup dan disiplin dalam hidup. Tambahan pula, ibadah haji dan umrah juga mendorong diri seseorang untuk rela berkorban dan lebih mengutamakan orang lain di atas kepentingan sendiri. Hikmah lain juga adalah dengan menjadikan seseorang itu mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT iaitu nikmat dari segi kesihatan diri dan harta pencarian. 

Umat Islam yang menunaikan ibadah haji dan umrah ini juga dapat menciptakan sifat persaudaraan dan kesatuan umat Muslim di serata dunia. Selain daripada itu juga, tali persaudaraan umat Islam juga dapat dieratkan dengan lebih teguh lagi. Hikmah ibadah haji dan umrah kepada umat Islam ini juga kita akan lebih mengutamakan kepentingan agama daripada kepentingan peribadi. Ibadah haji dan umrah juga dapat dijadikan sebagai media untuk berdakwah dalam menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia seperti yang telah dilakukan oleh Rasullah SAW sewaktu kehidupan baginda. 

Makna menunaikan ibadah haji dan umrah kepada umat Islam

Dari Abu Abdirrahman, Abdullah bin Umar bin Al-Khathab radhiallahu ‘anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Islam didasarkan pada 5 perkara, iaitu bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang layak disembah dengan benar kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan”

Imam Al-Nawawi telah menjelaskan bahawa hadis ini adalah asas hebat dalam mengenal agama dan menjadi tonggak asas dan tiang kepada agama. Perkara ini telah disokong dengan penaakulan bahawa ziarah atau berkunjung ini mengandungi makna yang mendalam kepada umat Islam. Makna ini adalah rasa sifat syukur dan berkat dengan anggota badan dan harta benda seseorang Islam. 

Seseorang umat Islam yang sentiasa munasabah dengan rasa syukur dan berkat ini dimanfaatkan dengan memberikan ketaatan kepada Allah sebagai Tuhan dalam pemberi nikmat. Hal ini kerana sifat syukur ini adalah nikmat yang telah menjadi satu kewajipan kepada umat Islam. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam perlu mempunyai rasa syukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kerana kita mempunyai kesempatan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. 

Ibadah haji dan umrah ini adalah fardu ain yang perlu dilakukan bagi semua umat Islam dan tidak ketinggalan juga wanita muslim. Ibadah haji ini hanya wajib dilakukan sekali seumur hidup dan apabila kita mengulangi pelaksanaannya adalah merupakan salah satu sunnah yang baik kepada seluruh umat Islam. Pelaksanaan ibadah haji dan umrah ini memberi makna yang mendalam kepada seluruh umat Islam dan wanita muslim kerana ia hanya berlaku sekali seumur hidup sahaja. 

Antara makna rukun menunaikan ibadah haji yang pertama adalah dengan mengenakan pakaian ihram. Jemaah yang hadir ke Baitullah Kaabah dan ingin mengerjakan ibadah haji dan umrah mereka diwajibkan mengena pakaian serba putih yang dililitkan di seluruh badan dan menutupi seluruh tubuh dengan betul. Ini membawa maksud bahawa seluruh umat Islam ini diciptakan oleh Allah dengan mempunyai kedudukan yang sama dan tidak ada satu pun yang berbeza sama ada dari segi status sosial, ekonomi dan sebagainya. Semua umat Islam ini juga adalah sama di mata Allah SWT namun yang membezakannya adalah tahap ketakwaan seseorang itu kepada Allah. 

Selain daripada itu, makna menunaikan ibadah haji ini dapat dilihat dengan larangan yang perlu dipatuhi sewaktu memakai pakaian ihram. Jemaah haji yang telah memakai pakaian ihram adalah dilarang sama sekali menyakiti dan membunuh binatang, mencabut pokok dan menumpahkan darah di tanah haram tersebut. Amalan ini dapat memberikan pelajaran kepada umat Islam bahawa makhluk sesama ciptaan Allah SWT ini perlu saling menjaga, tidak merosakkan antara satu sama lain mencari kebaikan bersama untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. 

Jemaah haji juga dilarang untuk memakai wangi-wangian dan perhiasan. Larangan ini adalah bertujuan untuk menunjukkan bahawa kehidupan manusia bukan semata-mata memenuhi nafsu sebaliknya untuk membersihkan jiwa dan memuji kebesaran dan kesucian Allah SWT. 

Dapat disimpulkan bahawa ibadah haji dan umrah ini memberikan hikmah dan makna yang mendalam kepada umat Islam dan ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib kita laksanakan bagi mencapai redha Allah SWT.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *