Uncategorized

Pahala Menunaikan Ibadah Haji Dan Umrah

Musim haji kali ini sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Buat pertama kalinya, Malaysia tidak menghantar jemaah Haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan. Suka atau tidak, kita terpaksa akur menerimanya dengan hati terbuka demi menghentikan penularan wabak Covid-19. Perasaan sedih memang tak dapat nak dikawal. Lebih-lebih lagi kepada bakal jemaah yang mendapat tawaran untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh Perdana Menteri lagi. Benarlah, kita hanya mampu merancang, tapi Allah jualah yang menentukan segalanya. Berbaik sangkalah kepada-NYA. Barangkali ada hikmah di sebalik semua kejadian yang berlaku ini. Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji dan umrah yang boleh kita lakukan.

Susulan keputusan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi pada Sabtu lalu yang tidak membenarkan jemaah haji luar negara menunaikan ibadah berkenaan pada musim haji 1442 Hijrah, ramai yang melahirkan rasa dukacita. Walaupun dihambat rasa sedih, namun semua akur kerana keputusan itu dibuat kerana mengambil kira situasi semasa Covid-19 yang agak membimbangkan. Kementerian Kesihatan dan Haji Arab Saudi mengumumkan, hanya 60,000 jemaah dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini. Ia hanya dihadkan untuk warganegara mereka dan juga penduduk negara lain yang berada di negara berkenaan. Ekoran itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji pada musim ini sebagai tanda akur dan menghormati keputusan Arab Saudi.

Amalan Yang Boleh Dilakukan Untuk Meraih Pahala Setara Dengan Ibadah Haji Dan Umrah

1. Menuju ke Masjid dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar

Abu Umamah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci menuju solat wajib, maka pahalanya seperti pahala orang yang menunaikan haji. Barang siapa keluar untuk solat sunat dhuha yang dia tidak melakukannya kecuali kerana itu, maka pahalanya seperti pahala orang yang menunaikan umrah.” (Riwayat Abu Daud)

2. Solat fardu berjemaah di masjid

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang berjalan menuju solat wajib berjemaah, maka ia seperti menunaikan haji. Siapa yang berjalan menuju solat sunat, maka ia seperti melakukan umrah yang sunnah.” (Riwayat at-Tabarani).

3. Solat Sunat Isyraq

Amalan solat ini dimulakan dengan solat Subuh berjemaah di masjid. Selepas itu digalakkan untuk kita tetap berzikir di dalam rumah Allah hinggalah tiba waktu solat sunat dhuha serta mendirikannya sekali gus.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mengerjakan solat Subuh secara berjemaah di masjid, lalu dia tetap duduk sambil berzikir pada Allah hingga matahari terbit, kemudian ia solat sunat dua rakaat, maka ia seperti mendapat pahala seperti seseorang yang menunaikan haji dan umrah secara sempurna.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Solat sunat di masjid

Menunaikan solat sunat di rumah Allah semata-mata kerana-Nya termasuk sebagai salah satu amalan yang setara dengan ibadah umrah.

5. Menuntut ilmu

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang berangkat ke masjid semata-mata untuk belajar kebaikan atau mengajarkan kebaikan, ia akan mendapat pahala haji yang sempurna.” (Riwayat at-Tabarani)

6. Berniat Haji, Tetapi Niatnya Terhalang

Ia termasuklah kepada mereka yang belum atau tidak mampu melaksanakan ibadah haji, tetapi sudah menyimpan niat untuk ke sana semata-mata kerana Allah. Tekad dan harapan yang sangat kuat itu sebenarnya juga akan dicatatkan pahala sama seperti menunaikan ibadah berkenaan, apatah lagi jika sudah tiba giliran mereka untuk menjadi tetamu Allah..

Jabir RA berkata bahawa ketika Peperangan Tabuk, kami bersama Rasulullah SAW yang bersabda: “Sesungguhnya di Madinah ada beberapa orang yang tidak ikut melakukan perjalanan perang, juga tidak menyeberangi suatu lembah, namun mereka bersama kalian (dalam pahala). Padahal mereka tidak ikut berperang kerana keuzuran.” (Riwayat Muslim)

7. Umrah pada bulan Ramadan

Ibnu Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bertanyakan kepada seorang wanita: “Apa alasanmu sampai tidak ikut menunaikan haji bersama kami?”

Wanita itu menjawab: “Aku punya tugas untuk memberi minum kepada seekor unta di mana unta tersebut ditunggangi oleh ayah fulan dan anaknya ataupun ditunggangi suami dan anaknya. Ia meninggalkan unta tadi tanpa diberi minum, lantas Kamilah yang bertugas membawakan air kepada unta tersebut.”

Lantas, Rasulullah SAW bersabda: “Jika Ramadan tiba, berumrahlah saat itu kerana Umrah pada bulan Ramadan senilai dan setara dengan Ibadah Haji.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

8. Berbakti kepada Kedua Orang Tua

Anas bin Malik RA berkata kepada Rasulullah SAW: “Ada seorang yang mendatangi Rasulullah SAW dan dia sangat ingin pergi berjihad, namun tidak mampu. Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Apakah salah satu daripada kedua orang tuanya masih hidup?” Ia menjawab, ibunya masih hidup. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dengan berbuat baik kepada ibumu. Jika engkau berbuat baik padanya, maka statusnya adalah seperti menunaikan ibadah haji, umrah dan berjihad.” (Riwayat at-Tabarani).

9. Membaca 33 kali Tasbih, Tahmid dan Takbir

Abu Hurairah RA berkata: “Ada orang-orang miskin datang menghadap Nabi Muhammad SAW. Mereka berkata, orang-orang kaya itu pergi membawa darjat yang tinggi dan kenikmatan yang kekal. Mereka solat sebagaimana kami solat. Mereka puasa sebagaimana kami berpuasa. Namun, mereka memiliki kelebihan harta hingga boleh menunaikan Haji, Umrah, Berjihad dan Bersedekah.”

Nabi Muhammad SAW lantas bersabda: “Mahukah aku ajarkan kalian suatu amalan yang dengan amalan tersebut kalian akan mengejar orang yang akan mendahului kalian dan dengannya dapat terkehadapan daripada orang yang setelah kalian? Dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama seperti kalian lakukan. Kalian bertasbih, bertahmid dan bertakbir di setiap akhir solat sebanyak 33 kali.”

Kami pun berselisih. Sebahagian kami bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali, bertakbir 34 kali. Aku pun kembali dan bertanya kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda: “Ucapkanlah subhanallah wal hamdulillah wallahu akbar sampai 33 kali.” (Riwayat al-Bukhari)

10. Mempersiapkan orang yang hendak menunaikan haji

Dalam sebuah hadis sahih: “Sesiapa yang mempersiapkan orang yang hendak berperang atau yang pergi menunaikan ibadah haji, menjaga ahli keluarga yang ditinggal oleh yang pergi haji/jihad atau yang memberi makan kepada orang berbuka, dia dapat pahala seumpama mereka tanpa mengurangkan pahala mereka.”

11. Isteri yang berkhidmat kepada suaminya dengan sempurna

Ibnu Athir meriwayatkan daripada Asma binti Yazid RA, beliau mengadu pada Rasulullah bahawa orang lelaki boleh keluar buat macam-macam perkara seperti haji, solat jemaah, ziarah orang sakit dan jenazah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya baiknya khidmat kamu pada suami kamu, mencari reda suami kamu dan mengikut kehendaknya akan menyamai pahala yang suami lakukan.” (Asadul Ghabah).

Kesimpulan

Begitu banyak sebenarnya amalan yang boleh dilakukan yang mana pahalanya setara seperti menunaikan Haji dan Umrah meskipun tidak dapat ke Tanah Suci Makkah. Pilihlah mana-mana amalan yang mudah untuk kita lakukan dan istiqamah ketika melaksanakannya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *