Uncategorized

Pengertian Haji Dan Umrah

Rukun Islam yang ke-5 adalah naik haji ke Baitullah atau Masjid Al-Haram. Ianya bermaksud bertamu ke tanah suci untuk melaksanakan amal ibadah sesuai dengan syarat, rukun, dan waktu yang telah ditetapkan. Ibadah haji ditetapkan untuk muslim yang mampu. Maksud mampu atau kuasa iaitu mempunyai persediaan yang cukup untuk pergi dan persediaan bagi keluarga yang ditinggalkannya. Sama seperti dengan umrah yang boleh dilakukan pada bulan- bulan lain selain bulan Dzulhijjah. Ibadat haji terdiri daripada menyucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang tepat dan penting untuk menuju akhirat setelah sekian lama kita sebagai umat Islam hidup di dunia ini. 

Sesungguhnya mereka yang menunaikan ibadah haji dan umrah sanggup berbakti harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri mereka dengan sebenar-benarnya kepada Allah, mereka tergolong dalam golongan yang telah mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi Allah. Haji dan umrah merupakan satu perkara dan kegiatan rohani serta moral yang di dalamnya terdapat pengorbanan, ungkapan rasa syukur, membuat kebajikan dengan kerelaan hati, melaksanakan perintah Allah, serta mewujudkan pertemuan besar dengan umat Islam lainnya dari seluruh dunia.

Pengertian Umrah

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Masjid Al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang diingini oleh seseorang individu. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Menunaikan umrah adalah ibadat seumpama seseorang itu mempersembahkan dirinya kepada Allah SWT. Sudah semestinya setiap masa ketika berada di sana akan digunakan sebaiknya untuk beribadat.

Pengertian Haji

Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Masjid Al- Haram (Kaabah) pada masa-masa tertentu pada bulan haji, iaitu Zulhijah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat. Haji terdiri dari 3 jenis antaranya ialah Haji Ifrad, Haji Tamattu’ dan Haji Qiran. 

Haji Ifrad ialah mengerjakan ibadah haji dahulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan Umrah. Haji Tamattu’ adalah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan ibadah haji di tahun yang sama. Dan Haji Qiran ialah berniat ihram haji dan umrah serentak pada bulan haji, kemudian melaksanakan semua rukun dan wajib haji. Umrah pula dikira selesai sebaik selesai menunaikan Haji. Dalam mengerjakan ibadah haji, ia memerlukan tenaga yang lebih banyak berbanding dengan mengerjakan ibadah umrah. Hal ini kerana ibadah haji memakan masa yang lebih lama berbanding mengerjakan ibadah umrah. Seseorang haruslah meningkatkan tahap ketahanan fizikal sekiranya ingin mengerjakan ibadah haji kerana ia terbukti kegiatan atau aktiviti yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji lebih banyak berbanding dengan mengerjakan umrah.

Hukum Menunaikan Umrah

Merujuk kepada persoalan di atas,  Hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Namun, ibadah umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. 

Hukum Menunaikan Haji

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang kelima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang cukup syarat.. Justeru, setiap muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali.

Rukun-rukun Menunaikan Umrah

Rukun-rukun umrah terdiri daripada 5 rukun. Antaranya, niat ihram umrah, tawaf umrah, saie umrah, bercukur atau bergunting dan tertib. 

1. Ihram

Ihram iaitu berniat untuk umrah. Niat haji dan umrah diwajibkan adalah sama seperti niat solat.

2. Tawaf

Tawaf umrah ialah mengelilingi kaabah dengan syarat-syarat sahnya beserta dengan sunat-sunatnya. 

3. Sa’ie

Sa’ie adalah berulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah menurut syarat-syaratnya.

4. Tahallul

Tahalul adalah menanggalkan sekurang-kurangnya 3 helai rambut dikepala dengan menurut syarat-syarat sahnya bagi lelaki. Bagi wanita bergunting rambut seruas jari.

5. Tertib

Tertib dikira sah apabila rukun umrah dilakukan mengikut susunan yang telah ditetapkan. 

Rukun-rukun Menunaikan Haji

Rukun haji adalah syarat wajib yang harus dilakukan ketika menunaikan ibadah haji. Rukun haji terdiri dari 6 perkara. Berikut adalah senarai rukun-rukun haji iaitu ihram, wukuf di Arafah, thawaf, sa’ie, cukur rambut (tahallul), dan tertib. Berikut ialah 6 rukun haji dan penjelasannya. 

1. Ihram

Ihram iaitu berniat untuk haji. Niat haji dan umrah diwajibkan adalah sama seperti niat solat.

2. Wukuf di Arafah

Berada di bumi Arafah (hari wukuf) walau satu saat sekalipun dalam sebarang keadaan bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. 

3. Tawaf

Tawaf ialah mengelilingi Kaabah sebanyak 7 pusingan dengan mematuhi syarat-syarat sahnya.

4. Sa’ie

Sa’ie ialah berulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah. Dimulai dari Bukit Safa, kemudian berjalan sampai tujuh kali perjalanan hingga berakhir di Bukit Marwah.

5. Tahallul

Tahallul ialah melepaskan diri daripada larangan dalam ihram. Tahalul haji terbahagi kepada dua iaitu Tahalul Awal dan Tahallul Tsani. Tahalul Awal terhasil apabila jemaah haji selesai mengerjakan perkara-perkara berikut iaitu melontar jamrah kubra, tawaf rukun dan sa’ie, dan bercukur/bergunting. Jemaah haji yang telah melakukan Tahallul Awal, boleh melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram kecuali berkahwin, bersetubuh dan mukadimah bersetubuh. Tahalul Thani pula terhasil apabila selesai mengerjakan semua amalan berikut iaitu melontar jamrah kubra, tawaf rukun dan sa’ie, dan bercukur/bergunting. Dengan Tahallul Thani, semua larangan ihram boleh dilakukan. 

6. Tertib

Didahulukan niat ihram dari rukun-rukun yang lain, didahulukan wukuf dari tawaf ifadah dan didahulukan dari tawaf dari sa’ie. Sa’ie Haji boleh mendahului wukuf dengan syarat telah melakukan tawaf qudum. Bercukur atau bergunting boleh mendahului tawaf jika telah masuk waktunya. 

Kesimpulan

Dalam hal ini kami berpandangan bahawa wajib ke atas seorang Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah paling kurang sekali seumur hidup. Namun, bagi mereka yang mempunyai kecukupan dan kemampuan yang lebih, disunatkan bagi mereka untuk mengulangi ibadah haji dan umrah pada tahun-tahun yang akan datang.

Justeru, berusahalah untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan sebaik yang mungkin, persiapkanlah bekalan dari segi mental dan fizikal agar kita dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelaksanaan ibadah yang kita usaha dan sedang kerjakan.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *