Uncategorized

Sejarah Haji Dan Umrah

Ibadah haji adalah merupakan salah satu ibadah dan perintah yang penting daripada Allah ke atas umat Islam dan ibadah haji ini juga merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Sebagaimana kita tahu bahawa solat itu tidak akan sempurna sekiranya tidak cukup lengkap rukunnya maka begitu juga dengan agama Islam, tidak akan sempurna sekiranya tiada ibadah haji ini. Oleh yang demikian, amalan ibadah haji ini amat dititikberatkan jika dapat dilakukan dengan tertib atau sunnah yang betul agar ia dapat diterima di sisi Allah SWT. 

Wahyu Allah yang bermaksud; “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah,” (Surah Al-Baqarah ayat 196) 

Sejarah Haji dalam Islam telah bermula ribuan tahun yang lalu pada zaman Nabi Ibrahim AS tahun 1861 – 1686 SM. Nabi Ibrahim AS merupakan keturunan kepada Sam bin Nuh AS pada tahun 3900 – 2900 SM. Menurut kajian khazanah Islam, Nabi Ibrahim AS telah dilahirkan di sebuah kota penting di Mesopotamia iaitu di Ur-Kasdim. Namun begitu, akhirnya Nabi Ibrahim telah berpindah dan menetap di sebuah lembah negeri di Syam. 

Ketika Nabi Ibrahim sudah memasuki usia senja, baginda masih belum dikurniakan keturunan dan perkara ini telah menyebabkan isteri baginda, Sarah begitu sedih melihat keadaan yang menimpa keluarga mereka. Akhirnya, Sarah telah meminta Nabi Ibrahim untuk menikahi Hajar, Allah SWT telah mengurniakan Nabi Ibrahim dan Hajar seorang anak bernama Ismail. Sarah, isteri pertama Nabi Ibrahim tidak dapat menahan sedih dan hiba kerana dia tidak dapat memberikan keturunan kepada suaminya sepanjang perkahwinan mereka. 

Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk membawa Ismail bersama Hajar untuk pergi menjauhkan diri daripada Sarah ke salah satu tempat. Allah berfirman, “Bawalah mereka ke tanah Haram-ku dan pengawasaan-Ku yang merupakan daratan pertama Aku telah ciptakan di permukaan bumi ini iaitu Mekkah.”

Lalu, malaikat Jibril AS turun kebumi dan membawa Nabi Ibrahim, isterinya Hajar dan anaknya, Ismail di satu daerah yang sunyi dari manusia, tiada keperluan hidup seperti air dan tumbuh – tumbuhan dan hanya gurun pasir sahaja. Tempat yang diduduki oleh Hajar dan anaknya Ismail adalah di bawah sebuah pohon yang hanya cukup melindungi mereka dari terik panas matahari. 

Setelah itu, Nabi Ibrahim AS harus pulang kembali ke negeri Syam untuk menemui Sarah dan terpaksa meninggalkan Hajar dan Ismail di tempat tersebut. Hajar begitu sedih namun dia harus akur kerana itu merupakan perintah Allah SWT untuk menempatkan mereka di kawasan tersebut. Sewaktu Nabi Ibrahim telah tiba di bukit Kuday, baginda berhenti sejenak dan melihat dari jauh keluarga yang ditinggalkannya lalu berdoa, 

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang dihormati. Wahai Tuhan kami, supaya mereka mendirikan sembahyang. Maka jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah – buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim ayat 37)

Setelah Nabi Ibrahim AS pergi meninggalkan keluarganya maka tinggallah isterinya Hajar bersama anaknya Ismail berdua disitu. Ketika sinar matahari mulai menyengat, Ismail menangis kehausan dan membuatkan ibunya Hajar panik mencari air. Pada awalnya, Hajar gigih berlari dari bukit Safa namun tiada air di situ lalu dia berlari ke bukit Marwa dan sekali lagi masih tidak menemukan setitik air sekalipun. Tanpa Hajar sedar, dia telah mengulangi perbuatannya itu sebanyak tujuh kali dari bukit Safa ke bukit Marwa dan dari situlah wujudnya rukun haji yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam sedunia sewaktu menunaikan haji di Mekkah.

Hajar berputus asa namun dari bukit Marwa dia melihat ke arah anaknya Ismail dan berasa hairan. Anaknya, Ismail berhenti menangis dan dia melihat terdapat air mengalir dari bawah kaki anaknya. Lalu, dia berusaha untuk menggali pasir dan membendung air yang mengalir itu sambil melafazkan kalimat “Zam…Zam” yang bermaksud menampung. Oleh kerana peristiwa inilah maka air tersebut dikenali sebagai air Zam Zam di seluruh dunia. 

Setelah beberapa waktu kemudian, terdapat sekelompok kabilah Jurhum melewati di sekitar kawasan tersebut. Sewaktu berada di bukit Arafah, mereka melihat burung – burung berterbangan di atas udara dan mereka yakin bahawa terdapat sumber air di tempat itu. Mereka begitu terkejut kerana melihat seorang wanita bersama bayi yang kecil duduk di bawah pohon yang berdekatan dengan sumber air itu. Salah seorang ketua suku kabilah Jurhum bertanyakan kepada Hajar sebab mereka berada di situ. Hajar berkata bahawa ini adalah perintah dari Allah SWT ke atas Nabi Ibrahim AS sekeluarga untuk menempatkan mereka di kawasan itu. Mereka meminta izin untuk tinggal berseberangan dengannya namun Hajar berkata dia perlu meminta izin dari suaminya dahulu. 

Nabi Ibrahim AS pergi melawati isteri dan anaknya tiga hari kemudian. Hajar meminta keizinan suaminya untuk membenarkan suku kabilah Jurhum untuk menjadi jiran mereka di kawasan tersebut. Setelah beberapa hari kemudian, makin ramailah keturunan dan bangsa Jurhum berkembang di kawasan tersebut. 

Suatu hari, Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk membangunkan Kaabah di posisi Qubah yang telah diturunkan oleh-Nya kepada Nabi Adam AS. Namun, Nabi Ibrahim tidak mengetahui kedudukan Qubah tersebut kerana Qubah itu telah diangkat oleh Allah sewaktu peristiwa banjir besar di bumi pada zaman Nabi Nuh AS. Allah SWT mengutuskan malaikat Jibril untuk menunjukkan kedudukan Kaabah itu kepada Nabi Ibrahim AS. Setelah itu, Jibril datang dan membawa beberapa bahagian Kaabah dari syurga dan memberikannya kepada Nabi Ibrahim AS yang dibantu oleh anaknya, Ismail yang sudah dewasa untuk membangunkan Kaabah tersebut.

Setelah ketinggian Kaabah itu telah mencapai 7 hasta, Jibril menunjukkan kedudukan Hajarul Aswad kepada mereka dan meletakkan ia di tempatnya. Nabi Ibrahim telah membuat dua pintu Kaabah di mana pintu utamanya mengadap ke arah Timur manakala pintu keduanya menghadap ke arah Barat. Setelah selesai membangunkan Kaabah tersebut, Nabi Ibrahim dan Ismail terus melaksanakan ibadah haji ketika itu. Tanggal 8 Dzulhijjah, Jibril telah turun dan menemui Nabi Ibrahim bagi menyampaikan pesanan untuk memberikan air di beberapa tempat seperti Mina dan Arafah. Maka peristiwa itu telah disebut sebagai hari Tarwiyah.

Imam Ibn Qudamah menyifatkan makna Tarwiyah di dalam kitabnya yang mempunyai dua makna berikutan kerana dua sebab hari tersebut dinamakan sebagai hari Tarwiyah. Sebab pertama adalah kerana peristiwa di mana para jemaah haji menuju ke Mina untuk bermalam setelah berihram dan ini kerana pada hari esok mereka akan menuju ke Arafah. Sewaktu para jemaah haji ini berada di Mina, mereka perlu mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah.  

Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buat pertama kalinya daripada Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Seharian baginda AS berfikir dan tertanya – tanya  kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah SWT atau daripada syaitan. 

Untuk itu, hari Tarwiyah ini mempunyai dua maksud menurut Imam Ibn Qudamah iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim AS mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. 

Sejak daripada itu, kaum Muslimin dan Muslimat yang ingin melaksanakan haji akan menziarahi Kaabah pada setiap tahun di musim haji.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *